Sufi adalah anak keempat
dari enam beradik. Ketika berumur 6 bulan sehingga 1 tahun, perkembangan dia
tidak seperti kanak-kanak lain, berbeza dengan abang dan kakaknya sewaktu bayi.
Perkara pertama yang saya kesan, ketika Sufi berumur sekitar 6-8 bulan dia
tidak mengoceh (babbling) seperti
bayi-bayi biasa. Saya fikir itu perkara
biasa.
Ketika Sufi berumur sekitar
1 hingga 2 tahun, dia kelihatan selesa bermain sendirian dan tidak suka bermain
bersama kakak dan abangnya, Sufi tidak gemar dipeluk dan sangat suka kepada
aktiviti yang berkaitan dengan air, hingga boleh duduk berjam lamanya.
Umur 3 hingga 4 tahun, sufi
gemar menyusun barang mengikut bentuk dan warna. Rutin yang dia buat, tidak
boleh diganggu atau diubah kecuali sufi mengubahnya sendiri. Sufi sangat fokus
apabila menonton rancangan kegemaran dan tidak berganjak sehingga rancangan
kegemarannya tamat. Sufi tidak memberi
respon apabila namanya dipanggil walaupun berulang-ulangkali. Emosinya mudah ,
kadang-kadang dia menangis dan menjerit secara tiba-tiba tanpa mengetahui apa
penyebabnya.
Umur 5 hingga 6 tahun, saya
daftarkan Sufi di KEMAS, kerana berdekatan dengan rumah dan mahu dia bercampur
dengan kanak-kanak sebaya dengannya. Ini adalah cabaran bagi saya. Boleh
dikatakan setiap hari saya menerima aduan daripada guru atas tingkahlaku Sufi
ketika belajar dan bermain bersama kawan-kawannya. Ketika ini, saya tidak tahu
yang anak saya mengalami Autisme dan tidak tahu apa itu Austisme, apatah lagi
saya adalah suri rumah sepenuh masa dan suami hanya bekerja sendiri.
Saya dicadangkan oleh guru
KEMAS untuk membuat ujian doktor ke atas anak saya, kerana guru tersebut
khuatir jika Sufi mengalami penyakit yang tidak diketahui. Dia juga risau
dengan kelakuan dan tindakan sufi. Menurut gurunya, ketika berada di dalam
kelas, Sufi tidak mendengar dan memahami arahan dengan baik, dan suka
bersendirian.
Pengesahan doktor dibuat dan
ketika Sufi menginjak ke usia 7 tahun, suami mendaftarkan Sufi di kelas Pendidikan
Khas. Suami mahu Sufi bersekolah seperti biasa. Keadaan ini, membuka satu lagi
episod kepada seluruh keluarga saya, terutama sekali suami saya. Kami
menantikan keajaiban anak saya jika dia boleh berubah menjadi kanak-kanak
normal.
Alangkah saya sendiri tidak
mengetahu bahawa Autisme adalah salah satu kategori yang disenaraikan sebagai
OKU, apatah lagi masyakat setempat dan sekeliling. Apabila saya dan suami
membawa Sufi berjalan-jalan pasti akan ada yang memerhati dan tidak kurang
bertanyakan tentang Sufi.
Sufi akan melompat-lompat
dan mengepak tangan apabila memberontak, atau dia akan bertindak agresif dengan
menggaru tangan atau mukanya sehingga luka, malah menjerit dan menangis sekuat
hati. Suami saya menjadi seorang yang sangat sabar melayan karenah Sufi.
Pada awal tahun
persekolahan, ketika Sufi berada dikelas pendidikan khas, dia tidak mahu bangun
untuk ke sekolah, perlu di pujuk dengan lembut. Sufi akan merajuk dan mengamuk
apabila ayahnya lewat menjemput pulang dari sekolah. Lama-kelamaan dia semakin
serasi.
Kini,Sufi sudah pandai
mengurus diri, sudah mengenali warna, bentuk dan nombor.
Menerima arahan. Jika
saya dan keluarga memberi arahan, kami menggunakan bahasa yang mudah, iaitu
menyebut satu-satu perkataan kerana Sufi tidak mempunyai keupayaan memahami
bahasa badan dan ayat yang panjang. Sufi sangat menitik beratkan kebersihan
diri dan persekitaran. Pantang sahaja melihat benda kotor seperti kuah
tertumpah di meja atau lantai, cepat-cepat dia mengelapnya.
Saya dan keluarga telah
menerima keadan Sufi. DIa adalah satu perkara terbaik yang berlaku dalam hidup
saya. Ragamnya membuatkan kami kekal erat selamanya kerana kenangan yang kami
kongsi sepanjang membesarkan Sufi. Paling mengagumkan Sufi menghafal semua
dialong Upin dan Ipin dengan baik.
No comments:
Post a Comment