Amir adalah kanak-kanak
penghidap Autisme Asperger. Sindrome Aspeger adalah kecacatan perkembangan yang
mempengaruhi bagaimana cara mereka melihat dunia dan berinteraksi dengan orang
lain. Mereka memiliki purata kecerdasan yang tinggi dan tidak mempunyai masalah
dengan pertuturan tetapi masih mengalami kesulitan dengan pemahaman dan perbualan.
Nisbah kepada penghidap
Austime Asperger adalah 1 : 100, Autisme Asperger mungkin dapat dilihat melalui
dua perkara ini,
1)
Seorang yang pintar seperti orang lain tetapi
menghadapi masalah dengan kemahiran sosial
2)
Fokus dan
obsesif kepada satu topik atau melakukan perkara yang sama
berulang-ulang kali.
*****
Ketika berumur 3 tahun
lebih, Amir pandai mengenal warna dengan baik. Apabila menonton rancangan kegemarannya,
jangan diganggu, Amir boleh melakukan tindakan agresif seperti menghentak
kepalanya ke lantai dan ia adalah situasi yang saya sangat takuti.
Amir tidak seperti kanak-kanak
seusia dengannya, apabila kita menyebut perkataan kepadanya atau bertanyaan
soalan, dia akan mengulangi menyebutnya kembali. Ia dikenali sebagai Ecolilia. Dia juga tidak sukakan bunyi
yang terlalu bising, bertindak menekup kedua-dua telinganya dengan kuat.
Menghindar dari pandangan
mata dan tidak memberi respon apabila dipanggil, ini kerap berlaku apabila kami
merakam gambar keluarga dan aktiviti bersama Amir. Paling menakjubkan Amir
sangat bagus mengeja huruf dan pandai membaca pada sekitar usia 3 atau 4 tahun.
Dia mengeja perkataan apa yang dia nampak dan lihat melalui pembelajaran visual.
Seperti kanak-kanak Autisme
yang lain, Amir mempunyai masalah di
dalam pertuturan serta komunikasi dan cepat kecewa dengan komunikasi yang sukar
baginya sebagai contohnya perbualan yang mengandungi unsur sarkastik.
Dia juga menghadapi kesukaran
ketika berada di dalam persekolahan, dan itu bukanlah alasan untuk saya
memberhentikan dan mengasingkan Amir. Tetapi, saya ambil itu sebagai satu
cabaran untuk saya dan isteri belajar tentang rutin Amir dan sentiasa
memberikannya galakan.
Apabila diajukan soalan,
Amir menjawab seolah-olah menggunakan skrip. Adakalanya dia memberikan jawapan
bernada (berlagu) kerana kesukaran membuat perkataan secara lansung. Dia berada dikelas harian, menerima pelajaran
yang sama seperti pelajar-pelajar yang lain Cuma dia tidak boleh menerima input
terlalu banyak pada satu-satu masa. Keadaan ini memerlukan Amir menerima
bantuan sokongan sedikit istimewa berbanding rakannya yang lain dari kalangan
guru yang mengajar.
Amir mempunyai daya
pemikiran yang tinggi dan ingatan yang kuat, dia mampu menghafal barangan yang
saya senaraikan, sangat pintar menyelesaikan permainan SODUKU, paling hebat
dalam permainan puzzle dengan hanya
melihat gambar asal sahaja, menghafal bangunan dan jalan. Sangat sensitif
dengan perubahan cuaca, pernah dia mengatakan secara spontan yang hujan akan
turun pada mala mini (kejadian lama). Menakjubkan memang hujan turun pada malam
tersebut. Kebanyakkannya kejadian hujan ini berlaku hampir 80% dengan apa yang
Amir ramalkan, malah bukan tentang cuaca, dia juga peka terhadap perubahan
sekeliling. Amir juga seorang yang
menepati masa dan mengigati tarikh dengan tepat. Saya lihat Amir gemar menonton
siaran bacaan ayat-ayat Al-Quran. Usai bacaan habis dibaca oleh qari atau
qariah, dia bangun dan meneruskan rutin seperti biasa.
Ramai orang yang tidak tahu
bagaimana untuk bertindak balas terhadap Amir kerana tidak ada yang memberitahu
mereka atau membantu mereka untuk memahami. Ini menyebabkan kejadian pembulian
dan penyindiran terus berlaku terhadap kumpulan mereka (autisme).
Kadangkala saya sendiri
tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan punca anak saya begini apabila ada yang
bertanyakan tentang keadaan Amir. Seharusnya masyarakat yang harus memahami
mereka dan bukan mereka yang perlu memahami masyarakat.
Amir. Kelahiran istimewa
saya dan seluruh keluarga saya.
No comments:
Post a Comment